TERIMA KASIH UMI….
Jam di dinding menunjukkan pukul 7.00 pagi. Aku terlambat lagi hari ini. Bergegas aku bangun tidak mahu terlepas Subuh. Lewat ke sekolah? Sebenarnya bukan sahaja hari ini, tetapi dah seminggu aku lewat ke sekolah. Jarak rumahku ke sekolah lebih kurang 30 minit. Pasti Cikgu Rodzi denda aku lagi hari ini. Semalam dia member latihan matematik dan sepatutnya hari ini adalah hari latihan tersebut perlu dihantar.Aku berfikir sejenak, daripada didenda, baik aku ponteng. Bukan aku sengaja, mana lah boleh bangun awal kalau dah masa tidur pun dinihari.
Boy teman baik ku sejak aku kecil. Dia tidak pernah mengeluh mendengar rintihan anak yatim ini. Hanya memandang sayu wajah ku. Aku menjadi yatim 3 tahun yang lalu dan sejak itu Umi yang didik dan besarkan kami dua beradik. Aku punya seorang adik perempuan, Hani. Aku mengenali boy ketika umur ku 14 tahun dan tahun ini genap 3 tahun kami bersama. Boy, adalah kambing peliharaan peninggalan arwah ayahku.Nama glamour tapi macam tak kena kambing dengan nama boy..tapi kambing aku,ikut suka akulah nak letak nama apa.
“Kamu tak ke sekolah hari ni along?” Tanya Umi ketika aku melintasi dapur untuk ke bilik air mengambil wuduk. “Tak..dah lewat ni umi…” jawabku pendek. Umi hanya menggeleng. Dia tahu perangaiku yang tidak suka dipaksa. Tetapi aku terlihat
matanya bergenang. Aku menjadi serba salah. Bersalah melihat air mata seorang ibu.
“Umi, along pergi dulu,” Kuhulur tangan minta disambut Umi. Tika itu Umi tatap puas wajahku. Sejak doktor sahkan Umi menghidap kanser paru-paru, aku tidak sampai hati untuk buat Umi kecewa. “Belajar betul-betul nak. Tahun ini kamu bakal hadapi peperiksaan besar. Kita bukan orang senang. Entah esok lusa Umi tak ada, kamu yang kena jaga adik kamu, kamu tak ada adik beradik yang lain,hani seorang sajalah adik kamu” pesan Umi.
Dalam perjalanan ke sekolah dengan hanya berbasikal,aku terasa sayu. Entah kenapa pesanan Umi kali ini terus masuk ke dalam hatiku. Aku bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib kami sekeluarga. Benar kata Umi, tahun ini aku bakal menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Aku mahu Umi gembira. Menjadi anak yang soleh dan taat. Itu janjiku pada arwah ayahku sebelum dia pergi. Janji yang pasti aku tunaikan. Sejak itu aku tidak lagi ponteng sekolah dan berusaha dengan tekun. Umi perasan akan perubahanku. Berkat doamu Umi, terima kasih.
Aku telah menduduki peperiksaan STPM dengan penuh keyakinan dan tawakal kepada Allah.Akhirnya, pada hari yang dinantikan keputusan peperiksaan telah diumumkan dan satu kejutan buatku kerana aku adalah antara pelajar terbaik sekolah. Satu perkara yang tidak pernah terlintas dalam hati aku.Walaubagaimana pun, berkat usaha, doa dari Umi, bantuan guru-guru dan rakan-rakan ku ,Alhamdulillah aku Berjaya. “Aku takkan melupakan kalian yang membantuku,” Getus hati kecilku.
Aku tidak sabar untuk pulang membawa berita gembira untuk Umi. Kali ini pasti Umi akan menangis, tapi aku pasti tangisan itu tanda kegembiraan kerana aku telah Berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Dalam perjalanan aku pulang ke rumah, aku ke kebun untuk menjenguk keadaan kawan baikku, boy. Sudah lama aku tidak ke situ. Aku tergamam seketika, boy tiada. Puas aku mencari di keliling kampung, tapi bayang boy pun tiada.Kerisauanku mula memuncak.
Aku risau.Adakah boy dicurikah? Memang sudah lama aku tidak menjenguk boy. Aku biarkan boy ditambat di kebun itu. Aku sibuk membantu Umi menjual kuih sementara menunggu keputusan STPM keluar. Kebiasaannya Umi yang akan memberi boy makan ketika aku ke pekan menjual kuih. Bersalahkah aku? Aku terus pulang ke rumah untuk bertanya pada Umi. Manalah tahu mungkin Umi yang lepaskan. Tapi kenapa?
Setibanya aku di rumah, aku melihat begitu ramai orang kampung di perkarangan teratak burukku. Hatiku gusar, berdebar-debar. Adakah sesuatu berlaku pada ahli keluarga ku? Umi atau Hani? Tidak mungkin! Tapi dari riak wajah mereka membayangkan keadaan yang berlawanan dengan tanggapan awalku. Aku mempercepatkan langkahku. “Tahniah Fiza..Kami bangga dengan kamu. Semoga lepas ini kamu lebih berjaya,” sapa makcik Rosnah.
“Terima kasih makcik…” Aku hanya tersenyum kelat kerana masih risau sebab aku belum melihat kelibat Umi dan Hani walaupun aku faham mungkin mereka sudah menerima berita tentang keputusanku. “Along!!” hani memeluk ku dari belakang. Lega aku melihat hani di hadapan mataku. “Umi mana? Kenapa ramai orang sangat ni?” Bertalu-talu aku bertanya pada adik kecilku itu.
“Ya, along. Umi di sini,” Hampir luluh hatiku mendengar suara Umi. Alhamdulillah. Tapi ini kenduri apa? Aku menjadi pelik. “Pagi tadi Ketua Kampung datang sampaikan berita yang keputusan kamu adalah terbaik dalam daerah kita. Jadi Umi buat sedikit kenduri kesyukuran. Cuma Umi minta maaf tak beritahu kamu awal-awal. Dan juga maafkan Umi kerana boy…Umi korbankan untuk kenduri ini.” Terang Umi panjang lebar.
Aku akhirnya tersenyum gembira kerana membuat Umi dan hani gembira. Setiap usaha pasti akan membuahkan hasilnya. boy, terima kasih kerana menjadi teman baikku selama ini dan kau terpaksa Umi korbankan kerana kenduri ini.Walaupun sedih boy sudah tiada tetapi apakan daya, hidup ini memang memerlukan pengorbanan.Terima kasih Umi keran banyak bersabar dengan karenah anakmu ini.
Saturday, April 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment